Friday, January 2, 2009

Hijrah : Merangsang Pemikiran Strategik


Kalau mahu, Tuhan boleh menghijrahkan RasulNya dari Makkah ke Madinah dengan mu`jizat sepenuhnya. Dengan menitahkan Buraq menerbangkan Junjungan SAW (seperti dalam peristiwa Isra’ Mi`raj itu) secepat kilat. Junjungan sudah boleh sampai ke destinasi hijrahnya dalam keadaan selesa dan selamat. Tetapi yang jelas Tuhan tidak menghendakinya demikian. Hijrah telah ditakdirkan berlaku dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan faktor perlindungan Ilahi dengan ikhtiar manusiawi. Demikianlah kenyataannya, sepanjang perjalanan Hijrah dari mula hingga jaya penuh dengan insiden-insiden yang dramatik, cemas dan mendebarkan. Memang RasuluLlah SAW mendapat perlindungan Tuhan, tetapi Junjungan juga terpaksa menempuh perjalanan yang serba pahit dan perit. Bukannya mudah untuk lepas dari jaring maut Quraish yang berhabis-habisan memburu Junjungan SAW. Demikian rapinya strategi Quraish, namun Hijrah jauh lebih rapi.

Sejak mula RasuluLlah SAW memang sudah yakin bahawa Tuhan akan melindunginya. Meskipun demikian Junjungan tidak pernah merasa terkecuali dari kewajipan berikhtiar merencanakan strategi Hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara perencanaan penting Junjungan termasuklah :

a. Merahsiakan rencana Hijrahnya, tidak seorang pun yang tahu termasuk teman terdekatnya seperti Abu Bakr as Siddiq hinggalah ke saat pelaksanaannya. Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu memang merupakan suatu keperluan strategik. Kebocoran maklumat-maklumat penting hingga diketahui oleh pihak lawan akan mengakibatkan musnahnya seluruh perencanaan itu.

b. Waspada dan tipu daya: Junjungan tidak tidur di kamarnya pada malam itu. Sebaliknya diperintahkan Ali ibn Abi Talib mengambil tempatnya, tidur di kamar Junjungan dengan tujuan untuk mengelirukan musuh yang menyangka Junjungan masih berada di kamarnya. Junjungan juga tidak terus berangkat ke Madinah selepas keluar dari Makkah, sebaliknya Junjungan berhenti singgah di Gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh tersebut barulah Junjungan meneruskan perjalanannya ke Madinah, iaitu ketika gerakan Quraish sudah mengendur.

c. Mendapatkan maklumat terkini tentang gerakan pihak musuh menerusi ‘Abdullah ibn Abi Bakr yang memang ditugaskan untuk mengumpulkan maklumat di Makkah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada Junjungan di Gua Thur. Memang maklumat terkini adalah merupakan suatu yang amat bernilai sehingga kadang-kadang maklumat-maklumat penting dijual-beli dengan harga yang sangat mahal. Ketika ini kita dapat menyaksikan semakin canggihnya strategi perisikan yang tujuannya tidak lain dari untuk mendapat maklumat.

d. Memanfaatkan keahlian (kepakaran) walau dari orang kafir sekalipun. Dalam peristiwa Hijrah junjungan telah mendapatkan khidmat seorang pemandu bukan Islam untuk menunjukkan jalan sulit (tidak ramai orang tahu) ke Madinah setelah Junjungan berpuas hati bahawa pemandu kafir itu tidak akan mengkhianatinya.

Nyatalah dari fakta-fakta tersebut, Hijrah bukan cuma serentetan peristiwa accidental atau kebetulan yang terjadi dalam budaya pasif dan fatalistik. Perjalanan Hijrah dengan segala liku dan simpang-perenangnya itu jelas mengandung hikmah budaya kerja berencana. Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan cuma dengan do`a dan penyerahan yang pasif, tetapi harus dikerjakan dengan perencanaan yang cukup strategik. Yang dimaksudkan dengan perencanaan atau planning ialah suatu proses menentukan matlamat, menggariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut.

Yang dimaksudkan dengan strategi pula ialah penggabungan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya. Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi di masa depan. Ketika Tuhan memerintahkan kita agar bersiap semaksimumnya untuk menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan ;

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh ALlah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang ALlah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan ALlah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya. ( Surah al-Anfal : 60 )

Ayat tersebut dapat diertikan sebagai perintah membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan kemajuan-kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan teknologi persenjataan. Oleh kerana ancaman yang dihadapi oleh umat Islam tidak lagi terbatas hanya dalam bidang ketenteraan, malah telah meningkat kepada ancaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya dan ekonomi, maka perintah Tuhan, waa`iddulahum.. (bersiaplah menghadapi mereka) itu harus pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan-perancangan strategik dalam bidang-bidang lain seperti kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran strategik. Sehubungan dengan itu budaya ad hoc seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar dari ajaran Islam.

Memang manusia hanya merencana, Tuhan jua yang menentukan jaya atau tidaknya. Namun manusia tetap diwajibkan merencana dan melaksanakan rencananya dengan setepat-tepatnya. Rencana yang rapi tetapi tidak dilaksanakan sebagaimana semestinya akan berakhir dengan kegagalan. Demikianlah yang terjadi dalam Perang Uhud. Perancangannya sudah cukup rapi dan strategik. Tetapi ada pasukan yang kurang berdisiplin lalu mengabaikan pelaksanaan strategi yang direncanakan. Akibatnya pasukan Islam mengalami kekalahan yang teruk. Ketika mereka mengadakan post-mortem untuk mencari punca musibah tersebut, turunlah jawapan dari langit qul huwa min `indi anfusikum (katakan : ia adalah akibat dari gara-gara kamu sendiri).

Demikianlah peri pentingnya perancangan yang strategik untuk mencapai matlamat. Tetapi seperkara yang harus diambil ingatan ialah bahawa dalam konteks Islam sepanjang proses perencanaan, mulai dari matlamat atau objektifnya hinggalah kepada cara dan langkah-langkah mencapainya harus dipastikan tidak menyimpang dari hukum dan etika agama. Dalam Islam, tujuan tidak menghalalkan cara.

Mudah-mudahan kita mampu menjadi umat sensitif yang mampu menangkap isyarat yang tersirat dalam peristiwa Hijrah yang penuh hikmah itu.

Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah!!!

4 comments:

  1. Hebat tok hebat...

    Selamat berblog...

    Artikel ni cukup menarik...

    Cuma ana nak minta wak kalau boleh tambah, ana pernah terbaca buku tentang Rasulullah seorang yang strategis, mungkin dapat dikembangkan idea ini lagi, bagaimana Rasulullah ini dibekerja, bertindak dan berfikir dengan strategis.

    Kita wajib bertindak sebagai strategis, kerana allah sentiasa menuntut kita untuk berfikir dan Allah suka kepada perkara yang terbaik.

    TUNE diri kita...

    ReplyDelete
  2. Selamat datang dan tahniah

    pembukaan yang hebat... dah lama tunggu dah

    ps. mohon keizinan nak link ngan blog tok

    ReplyDelete
  3. sy lihat ramai sukarelawan dan jurudakwah kita tidak strategik dan berencana dalam kerja mereka. work hard but not work smart (dengan izin). pepatah mengatakan "kebatilan yang terancang boleh menewaskan kebenaran yang tidak terancang". contohnya banyak boleh kita lihat disekeliling kita. betul! hidayah dari Allah tapi kita juga perlu merancang.. Wallahua'lam

    ReplyDelete
  4. salam....

    selamat beranjakan paradigma...tahniah tok penghulu yg saya hormati...

    ReplyDelete