Tuesday, March 17, 2009

Bersyukur dengan Maulidur Risalah


1. Setiap tahun kita menyambut Maulidur Rasul. Apa yang lebih perlu dihayati adalah Maulidur Risalah, kesyukuran kita dengan kehadiran Islam untuk merubah hidup peradaban manusia dari jahil kepada ilmu dan dari maksiat kepada taqwa. Maulidur risalah juga menghapuskan penindasan orang kaya kepada orang miskin, orang berpangkat kepada orang tidak berpangkat.

2. Lebih menyedihkan apabila orang islam sendiri menjadi musuh Islam. Kerana jahil agama mereka melakukan kerosakan dengan mengadakan program yang menelanjangkan aqidah dan merobohkan akhlaq umat Islam.

3. Kita sering menangis apabila anak tidak cemerlang dalam peperiksaan, tetapi kita tidak menangis apabila anak kita tidak solat 5 waktu dan tidak pandai membaca al-Quran di rumah. Ini adalah virus dan sekiranya ia tidak diubat segera maka wabaknya akan merebak kedalam masyarakat kita. Cabaran kepimpinan rumahtangga adalah kepada si ayah yang menjadi teladan kepada anak-anak. Bak kata pepatah melayu 'bapak borek anak rintik'.

4. Di Selangor kita mempunyai 369 masjid dan 1,868 surau yang perlu dimakmurkan. Masjid dan surau perlu diimarahkan untuk menjadi pusat pembangunan ummah yang berkesan. Ketepikan soal perbezaan anutan parti politik dan pembinaan institusi baru untuk pembangunan ummat. masjid dan surau kita belum makmur dengan aktiviti menarik ummat.

5. Usaha-usaha untuk membasmi kejahilan, kemungkaran, kemaksiatan, dan kekufuran perlu dijalankan dengan istiqamah. Kegawatan aqidah yang berlaku dalam masyarakat menjadikan kita miskin, berpecah dan suka mengadu domba dan fitnah sesama kita. Rasulullah pun membina aqidah yang mantap selama 13 tahun.

6. Annasu ‘ala dinu mulukihim – manusia adalah atas agama ketua mereka. Umar abd aziz ketika dilantik menjadi pemimpin menangis kerana beban tanggungjawab yang akan dipikul. Ini kerana golongan yang tidak dipandang langsung dipadang mahsyar adalah golongan pemimpin yang menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri sendiri.

7. Malangnya dalam kita sibuk dalam usaha membina ummat, ada juga tangan yang meruntuh dengan penganjuran program-program yang menelanjangkan aqidah serta meroboh peradaban akhlaq insan.
8. Akhirnya marilah kita berusaha untuk istiqamah dalam jihad dan dakwah, dalam satu saf. alangkah manisnya jika kita di padang mahsyar nanti, Rasulullah mengenali kita dan berkata "ini umatku, marilah bersamaku ke syurga"

Wallahua'lam

Tuesday, February 3, 2009

Penggerak Belia Tempatan


Ketika saya ditelefon oleh wartawan sinar ini sebenarnya saya sedang demam panas. Saya sedang berehat diatas katil selepas makan ubat dan saya ditanyakan tentang pendapat saya tentang penubuhan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan Belia (JKB).

Bagi saya prinsip yang penting yang perlu didokong oleh mana-mana pertubuhan belia adalah prinsip non-partisan. Maksudnya ialah tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Tetapi tidak bermaksud untuk tidak respon dalam isu-isu politik. Benar perlu dikatakan benar walau dari manapun ia datang. Salah tetap dikatakan salah walau itu datang dari pihak kita.

Apabila prinsip ini dipegang oleh pertubuhan belia, belia akan menjadi pendesak bebas (independent force) yang berkesan kepada kerajaan. Saya melihat sebelum ini banyak program-program belia bersifat dari atas turun ke bawah, maksudnya program stereotype dari jabatan dan kementerian yang perlu dihadiri oleh para belia. Natijahnya program yang dianjurkan tidak bersesuaian dengan minat dan halatuju belia dan pertubuhan. Akhirnya program diisi dengan peserta tangkap muat dan terpaksa.

Kebelakangan ini nampaknya pihak kementerian telah memandang masalah ini dan telah mewujudkan satu mekanisma online bagi memohon peruntukan dari kementerian, justeru program yang dianjurkan akan menepati aspirasi pertubuhan dan ahli belianya. Tahniah

Majlis Belia Daerah atau PeBt yang akan ditubuhkan ini perlu mempunyai 3 fungsi berikut.
1. Sebagai Pemikir, Role Model, Mentor, Pendidik, Kawan, Pemangkin, Penghubung Sumber, Pembantu Proses, Rakan Sebaya dan Kaunselor bagi belia-belia.
2. Menjadi Badan Penghubung diantara Belia tempatan dengan agensi-agensi kerajaan.
3. Membantu Menubuhkan dan Mengaktifkan Persatuan atau Kelab Belia disetiap Kampung dan Taman.

Saya melihat senario ramai belia diluar sana yang hendak melanjutkan pelajaran kerana keputusan SPM tidak begitu cemerlang, hendak mendapatkan bantuan perniagaan, hendak mendapat latihan pembaikan automatif dan lain-lain kehendak lagi, tetapi mereka tidak tahu kemana hendak dituju dan kepada siapa hendak diadu. Justeru MBD atau PeBt perlu mengambil peranan ini sebagai orang tengah diantara belia dan agensi kerajaan.

Saya menginginkan setiap kampung dan taman mempunyai persatuan belia sendiri yang berdaftar dan aktif serta menjadi wadah kepada belia-belia setempat. Tetapi bukan mudah untuk merealisasikannya kerana masa umur belia inilah belia baru mula untuk mengembungkan poket, memantapkan kerjaya dan menimang anak. Hanya semangat untuk melihat Belia Sebagai Pewaris Kepimpinan Negara sahajalah yang mempu memberi motivasi kepada kepimpinan belia untuk terus istiqamah dalam perjuangan.

Akhirnya saya sertakan 15 Ciri Pertubuhan yang Mampan sebagai perkongsian pengalaman saya yang sedikit ini untuk menggerakkan pertubuhan. Semoga ia memberi manfaat kepada teman-teman blogger.

1. Pentadbiran yang Sistematik
2. Kepimpinan yang Proaktif
3. Wawasan yang Jelas
4. Perancangan yang Berkesan
5. Pengagihan Tugas yang Cekap
6. Perkongsian Maklumat yang Jitu
7. Kewangan yang Stabil
8. Aktiviti yang Bermanafaat
9. Asas Kerohanian yang Kukuh
10. Penyeliaan Aktiviti yang Berterusan
11. Hubungan Baik dengan Pertubuhan Luar
12. Pengukuhan Semangat Sukarela
13. Penilaian untuk Penambahbaikan
14. Latihan yang Berterusan
15. Kepimpinan Pelapis yang Berwibawa

Sekiranya para sahabat blogger ada cadangan membina yang lain bagi pembangunan belia saya amat alu-alukan. Wallahua'lam

Wednesday, January 7, 2009

Mengapa perlu memperdagangkan Hudud?

Sekali lagi isu hudud timbul kembali setelah sekian lama tenggelam. Ia umpama bahan komoditi yang akan meningkat permintaannya sekiranya pilihanraya muncul.

Suasana begini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di peringkat antabangsa sekalipun di kebanyakan Negara-negara Islam, parti-parti politik Islam terus menjadikan isu perlaksanaan hukum hudud ini sebagai bahan isu terpenting. Lebih-lebih lagi untuk membezakan ia lebih islamik dari parti yang mereka sebut sekular.

Sekiranya mereka benar-benar ikhlas hendak melaksanakan hudud, mereka perlulah berfikiran merentasi sempadan politik kepartian hingga boleh duduk semeja untuk bermuzakarah mencari di mana titik persetujuan dan mencari kaedah terbaik untuk melaksanaakan hukum Allah ini.

Hudud hanyalah sebahagian daripada hukum syariah yang berkait rapat dengan hal-ehwah jenayah. Secara umum, ulamak membahagikan syariah Allah kepada 3 aspek utama iaitu: Iktiqadiah (soal2 berkaitan dengan aqidah), Akhlaqiah (soal2 berkaitan dengan akhlak, moral dan etika) dan ‘Amaliyah. ‘Amaliah terbahagi pula kepada ibadah (hubungan diantara hamba dengan Tuhannya) dan mu’amalah (hubungan hamba sesama mereka). Aspek muamalah ini pula terbahagi kepada pelbagai cabang antaranya Ahwal Syaksiah (aspek kekeluargaan), Muamalah Maliah (pentadbiran ekonomi dan harta termasuk kewangan Islam), Siyasah Syariiyyah (pentadbiran politik), Jinayah (hudud dan takzir) dan sebagainya.

Syariah Allah merangkumi banyak perkara bukannya hanya tertumpu kepada hudud semata-mata. Kadangkala saya berasa sangsi mengenai keikhlasan pihak-pihak tertentu dalam memperjuangkan hukum hudud seolah-olah ia merupakan keutamaan dalam pensyariatan hukum Allah. Kenapa tidak ditekankan aspek-aspek lain dalam Syariah yang lebih penting kalaupun tidak sama penting dengan Hudud ini.

Janganlah kerana kegilaan kepada kuasa kita sanggup memperjudikan hukum Allah. Janganlah kerana rakus berparti kita sanggup memperalatkan agama Allah. Hudud adalah hak Allah yang wajib kita semua pertahankan. Cuma dalam konteks perlaksanaannya sahaja memerlukan kebijaksanaan dari segi pendekatan merealisasikannya agar ia tidak menjadi fitnah dan tidak sekali-kali melanggari matlamat asas syariah (maqasid as-syariah) sebagaimana yang digariskan Allah.

Monday, January 5, 2009

Palestin, Apa Yang Dapat Kita Bantu?

Kisah Palestin ini tenggelam timbul dalam media tempatan, ini kerana banyak lagi isu lain yang lebih sensasi yang diutamakan di dalam akhbar-akhbar dan media massa. Sehinggalah beberapa hari ini Israel semakin mengganas dan membunuh lebih 300 orang Palestin.

Apa hebatnya Palestin sehingga semua umat Islam perlu mengambil endah kepadanya? Palestin dianggap tanah suci umat Islam berdasarkan firman Allah yang bermaksud : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjid al Haram ke Masjid al Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya. " (Surah al Isra' : Ayat 1)

Di tanah itu terdapat Masjid al Aqsa yang merupakan kiblat umat Islam yang pertama sebelum ditukar ke Masjidil Haram menghadap Kaabah. Rasulullah telah bersabda yang bererti :
"Tidak digalakkan mengambil berat dalam pengembaraan kecuali kepada 3 masjid; Masjid al Haram, masjid ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al Aqsa. " (Riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Abu Daud)

Di bumi ini, terdapat ramai pesuruh Allah yang diutuskan antaranya adalah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Luth. Di sini juga adalah bumi Nabi Muhammad SAW diisra'kan.

Di bumi ini, ia pernah diperintah oleh Kristian selama 88 tahun (1099-1887). Dan akhirnya jatuh di tangan pahlawan Islam yang terkenal iaitu Salahuddin al Ayyubi seorang bangsa Kurdi yang bukan dari bangsa Arab. (Siapa yang berjuang di atas nama Islam, pasti ALlah akan tingkatkan darjatnya).

Negara haram Yahudi telah tertubuh melalui British yang mengisytiharkan menerusi Perjanjian Bulfor pada 2 November 1917 dan mendapat persetujuan Amerika Syarikat pada 31 Ogos 1918.

Mereka Saudara Kita dan kini bumi Palestin telah digemparkan lagi dengan peristiwa pembunuhan yang seolah-olah tidak akan sehabis-habisnya sehinggalah Yahudi melalui Israel Zionis menguasai setiap inci tanah Palestin. Namun yang perlu kita fikirkan adalah nasib saudara-saudara seIslam yang terkorban dan al Aqsa di bawah penguasaan Israel Zionis.

Apa yang dapat kita bantu wahai saudaraku?

1. Sekiranya anda seorang guru, ustaz, penceramah, rakan-rakan yang sedar dan cintakan saudara seIslam serta al Aqsa, sampaikanlah kepada mereka akan kepentingan Palestin, Masjidil Aqsa serta semaikan di jiwa mereka kisah pahlawan Islam dan penderitaan saudara kita di sana. Sesungguhnya kita ini disatukan dengan kalimah La ila ha illaLLah.

2. Sekiranya anda berkemampuan dari segi kewangan maka bolehlah menderma kepada Global Peace Mission ABIM.

3. Sampaikan berita-berita terkini mengenai palestin dan umat Islam di negara lain melalui emel, YahooGroup, sms, mms, majalah dan sebagainya sebagai medium penyampaian untuk memberi kesedaran kepada umat Islam dan rakyat Malaysia umumnya tentang penderitan rakyat Palestin.

4. Anda boleh berusaha untuk memboikot barangan atau pengeluar yang membantu Israel membangunkan ekonomi dan membunuh umat Islam di Palestin. Contoh barangan seperti Calvin Klien, Carrefour, Coca Cola, Danone, Clinique, dan banyak lagi…

5. Sekiranya anda seorang penulis, wartawan, kolumnis, atau seorang yang mempunyai kesedaran tentang pentingnya menyelamatkan tanah Palestin, al Aqsa dan umat Islam silalah untuk menulis surat, menulis artikel, petisyen. Mudah-mudahan dengan usaha ini, ada di antara mereka yang berautoriti dan benar-benar sayangkan Islam akan memanjangkannya kepada pihak atasan, kedutaaan dan lebih dari itu OIC.

6. Sekiranya anda seorang penulis blog, admin laman web, pereka grafik yang kreatif membuat widget bolehlah memaparkannya di blog dan web masing-masing. Disarankan juga untuk memakai baju 'bebaskan palestin' contohnya.

7. Jangan lupa untuk mendoakan mereka di Palestin, juga umat Islam di seluruh dunia juga kepada pejuang-pejuang Islam yang sedang berjuang di negara masing-masing.Mudah-mudahan dengan usaha kecil kita ini dapat meringankan beban penderitaan umat Islam di Palestin. Dan ALlah memandang kita sebagai Muslimin yang telah berusaha untuk membantu saudara-saudaranya..

Sekiranya teman-teman blogger ada cadangan lain yang lebih bernas silalah... Wallhua’lam

Friday, January 2, 2009

Hijrah : Merangsang Pemikiran Strategik


Kalau mahu, Tuhan boleh menghijrahkan RasulNya dari Makkah ke Madinah dengan mu`jizat sepenuhnya. Dengan menitahkan Buraq menerbangkan Junjungan SAW (seperti dalam peristiwa Isra’ Mi`raj itu) secepat kilat. Junjungan sudah boleh sampai ke destinasi hijrahnya dalam keadaan selesa dan selamat. Tetapi yang jelas Tuhan tidak menghendakinya demikian. Hijrah telah ditakdirkan berlaku dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan faktor perlindungan Ilahi dengan ikhtiar manusiawi. Demikianlah kenyataannya, sepanjang perjalanan Hijrah dari mula hingga jaya penuh dengan insiden-insiden yang dramatik, cemas dan mendebarkan. Memang RasuluLlah SAW mendapat perlindungan Tuhan, tetapi Junjungan juga terpaksa menempuh perjalanan yang serba pahit dan perit. Bukannya mudah untuk lepas dari jaring maut Quraish yang berhabis-habisan memburu Junjungan SAW. Demikian rapinya strategi Quraish, namun Hijrah jauh lebih rapi.

Sejak mula RasuluLlah SAW memang sudah yakin bahawa Tuhan akan melindunginya. Meskipun demikian Junjungan tidak pernah merasa terkecuali dari kewajipan berikhtiar merencanakan strategi Hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara perencanaan penting Junjungan termasuklah :

a. Merahsiakan rencana Hijrahnya, tidak seorang pun yang tahu termasuk teman terdekatnya seperti Abu Bakr as Siddiq hinggalah ke saat pelaksanaannya. Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu memang merupakan suatu keperluan strategik. Kebocoran maklumat-maklumat penting hingga diketahui oleh pihak lawan akan mengakibatkan musnahnya seluruh perencanaan itu.

b. Waspada dan tipu daya: Junjungan tidak tidur di kamarnya pada malam itu. Sebaliknya diperintahkan Ali ibn Abi Talib mengambil tempatnya, tidur di kamar Junjungan dengan tujuan untuk mengelirukan musuh yang menyangka Junjungan masih berada di kamarnya. Junjungan juga tidak terus berangkat ke Madinah selepas keluar dari Makkah, sebaliknya Junjungan berhenti singgah di Gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh tersebut barulah Junjungan meneruskan perjalanannya ke Madinah, iaitu ketika gerakan Quraish sudah mengendur.

c. Mendapatkan maklumat terkini tentang gerakan pihak musuh menerusi ‘Abdullah ibn Abi Bakr yang memang ditugaskan untuk mengumpulkan maklumat di Makkah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada Junjungan di Gua Thur. Memang maklumat terkini adalah merupakan suatu yang amat bernilai sehingga kadang-kadang maklumat-maklumat penting dijual-beli dengan harga yang sangat mahal. Ketika ini kita dapat menyaksikan semakin canggihnya strategi perisikan yang tujuannya tidak lain dari untuk mendapat maklumat.

d. Memanfaatkan keahlian (kepakaran) walau dari orang kafir sekalipun. Dalam peristiwa Hijrah junjungan telah mendapatkan khidmat seorang pemandu bukan Islam untuk menunjukkan jalan sulit (tidak ramai orang tahu) ke Madinah setelah Junjungan berpuas hati bahawa pemandu kafir itu tidak akan mengkhianatinya.

Nyatalah dari fakta-fakta tersebut, Hijrah bukan cuma serentetan peristiwa accidental atau kebetulan yang terjadi dalam budaya pasif dan fatalistik. Perjalanan Hijrah dengan segala liku dan simpang-perenangnya itu jelas mengandung hikmah budaya kerja berencana. Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan cuma dengan do`a dan penyerahan yang pasif, tetapi harus dikerjakan dengan perencanaan yang cukup strategik. Yang dimaksudkan dengan perencanaan atau planning ialah suatu proses menentukan matlamat, menggariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut.

Yang dimaksudkan dengan strategi pula ialah penggabungan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya. Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi di masa depan. Ketika Tuhan memerintahkan kita agar bersiap semaksimumnya untuk menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan ;

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh ALlah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang ALlah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan ALlah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya. ( Surah al-Anfal : 60 )

Ayat tersebut dapat diertikan sebagai perintah membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan kemajuan-kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan teknologi persenjataan. Oleh kerana ancaman yang dihadapi oleh umat Islam tidak lagi terbatas hanya dalam bidang ketenteraan, malah telah meningkat kepada ancaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya dan ekonomi, maka perintah Tuhan, waa`iddulahum.. (bersiaplah menghadapi mereka) itu harus pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan-perancangan strategik dalam bidang-bidang lain seperti kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran strategik. Sehubungan dengan itu budaya ad hoc seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar dari ajaran Islam.

Memang manusia hanya merencana, Tuhan jua yang menentukan jaya atau tidaknya. Namun manusia tetap diwajibkan merencana dan melaksanakan rencananya dengan setepat-tepatnya. Rencana yang rapi tetapi tidak dilaksanakan sebagaimana semestinya akan berakhir dengan kegagalan. Demikianlah yang terjadi dalam Perang Uhud. Perancangannya sudah cukup rapi dan strategik. Tetapi ada pasukan yang kurang berdisiplin lalu mengabaikan pelaksanaan strategi yang direncanakan. Akibatnya pasukan Islam mengalami kekalahan yang teruk. Ketika mereka mengadakan post-mortem untuk mencari punca musibah tersebut, turunlah jawapan dari langit qul huwa min `indi anfusikum (katakan : ia adalah akibat dari gara-gara kamu sendiri).

Demikianlah peri pentingnya perancangan yang strategik untuk mencapai matlamat. Tetapi seperkara yang harus diambil ingatan ialah bahawa dalam konteks Islam sepanjang proses perencanaan, mulai dari matlamat atau objektifnya hinggalah kepada cara dan langkah-langkah mencapainya harus dipastikan tidak menyimpang dari hukum dan etika agama. Dalam Islam, tujuan tidak menghalalkan cara.

Mudah-mudahan kita mampu menjadi umat sensitif yang mampu menangkap isyarat yang tersirat dalam peristiwa Hijrah yang penuh hikmah itu.

Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah!!!