Tuesday, February 3, 2009

Penggerak Belia Tempatan


Ketika saya ditelefon oleh wartawan sinar ini sebenarnya saya sedang demam panas. Saya sedang berehat diatas katil selepas makan ubat dan saya ditanyakan tentang pendapat saya tentang penubuhan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan Belia (JKB).

Bagi saya prinsip yang penting yang perlu didokong oleh mana-mana pertubuhan belia adalah prinsip non-partisan. Maksudnya ialah tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Tetapi tidak bermaksud untuk tidak respon dalam isu-isu politik. Benar perlu dikatakan benar walau dari manapun ia datang. Salah tetap dikatakan salah walau itu datang dari pihak kita.

Apabila prinsip ini dipegang oleh pertubuhan belia, belia akan menjadi pendesak bebas (independent force) yang berkesan kepada kerajaan. Saya melihat sebelum ini banyak program-program belia bersifat dari atas turun ke bawah, maksudnya program stereotype dari jabatan dan kementerian yang perlu dihadiri oleh para belia. Natijahnya program yang dianjurkan tidak bersesuaian dengan minat dan halatuju belia dan pertubuhan. Akhirnya program diisi dengan peserta tangkap muat dan terpaksa.

Kebelakangan ini nampaknya pihak kementerian telah memandang masalah ini dan telah mewujudkan satu mekanisma online bagi memohon peruntukan dari kementerian, justeru program yang dianjurkan akan menepati aspirasi pertubuhan dan ahli belianya. Tahniah

Majlis Belia Daerah atau PeBt yang akan ditubuhkan ini perlu mempunyai 3 fungsi berikut.
1. Sebagai Pemikir, Role Model, Mentor, Pendidik, Kawan, Pemangkin, Penghubung Sumber, Pembantu Proses, Rakan Sebaya dan Kaunselor bagi belia-belia.
2. Menjadi Badan Penghubung diantara Belia tempatan dengan agensi-agensi kerajaan.
3. Membantu Menubuhkan dan Mengaktifkan Persatuan atau Kelab Belia disetiap Kampung dan Taman.

Saya melihat senario ramai belia diluar sana yang hendak melanjutkan pelajaran kerana keputusan SPM tidak begitu cemerlang, hendak mendapatkan bantuan perniagaan, hendak mendapat latihan pembaikan automatif dan lain-lain kehendak lagi, tetapi mereka tidak tahu kemana hendak dituju dan kepada siapa hendak diadu. Justeru MBD atau PeBt perlu mengambil peranan ini sebagai orang tengah diantara belia dan agensi kerajaan.

Saya menginginkan setiap kampung dan taman mempunyai persatuan belia sendiri yang berdaftar dan aktif serta menjadi wadah kepada belia-belia setempat. Tetapi bukan mudah untuk merealisasikannya kerana masa umur belia inilah belia baru mula untuk mengembungkan poket, memantapkan kerjaya dan menimang anak. Hanya semangat untuk melihat Belia Sebagai Pewaris Kepimpinan Negara sahajalah yang mempu memberi motivasi kepada kepimpinan belia untuk terus istiqamah dalam perjuangan.

Akhirnya saya sertakan 15 Ciri Pertubuhan yang Mampan sebagai perkongsian pengalaman saya yang sedikit ini untuk menggerakkan pertubuhan. Semoga ia memberi manfaat kepada teman-teman blogger.

1. Pentadbiran yang Sistematik
2. Kepimpinan yang Proaktif
3. Wawasan yang Jelas
4. Perancangan yang Berkesan
5. Pengagihan Tugas yang Cekap
6. Perkongsian Maklumat yang Jitu
7. Kewangan yang Stabil
8. Aktiviti yang Bermanafaat
9. Asas Kerohanian yang Kukuh
10. Penyeliaan Aktiviti yang Berterusan
11. Hubungan Baik dengan Pertubuhan Luar
12. Pengukuhan Semangat Sukarela
13. Penilaian untuk Penambahbaikan
14. Latihan yang Berterusan
15. Kepimpinan Pelapis yang Berwibawa

Sekiranya para sahabat blogger ada cadangan membina yang lain bagi pembangunan belia saya amat alu-alukan. Wallahua'lam